MURUGIAH (kiri) dan Mohamad  disebut-sebut bakal calon PRK itu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali & Syarafiq Abd Samad
MURUGIAH (kiri) dan Mohamad disebut-sebut bakal calon PRK itu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali & Syarafiq Abd Samad
Wartawan NSTP

Kuantan: Barisan Nasional (BN) belum memutuskan calon daripada parti mana mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Walaupun tempoh untuk hari penamaan calon tinggal tidak sampai seminggu lagi, difahamkan pucuk pimpinan UMNO dan MIC belum dapat memberi kata putus berhubung calon paling sesuai bertanding di kerusi berkenaan.

Terdapat khabar angin mengatakan antara punca kelewatan pengumuman calon itu disebabkan ada desakan dalam kalangan ahli UMNO yang mahu calon daripada parti itu dipilih menggantikan calon MIC.

Sumber dalaman MIC ketika dihubungi berkata, perkembangan itu sangat mengejutkan pimpinan dan ahli MIC memandangkan mereka sudah menggerakkan jentera ke Cameron Highlands sejak Disember lalu.

“Memang ada khabar angin mereka (UMNO) ingin meletakkan calon di sana (Cameron Highlands), tapi ia belum jelas dan belum disahkan lagi. Perkara (khabar angin) macam ini sesuatu yang sukar dijangka, lagi pun MIC sudah bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands sejak 2004, jadi ia (perkembangan ini) bukanlah sesuatu yang boleh membantu usaha mengekalkan kerusi berkenaan,” katanya, semalam.

Difahamkan, Majlis Tertinggi BN sepatutnya bermesyuarat semalam untuk memutuskan calon bertanding pada PRK berkenaan, namun ditunda kepada Khamis ini.

Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Julai 2017 pernah mengeluarkan kenyataan sebanyak 39 daripada 40 Cawangan UMNO Bahagian itu mahu kerusi Parlimen berkenaan ditandingi calon daripada UMNO.

Terbaharu, ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dalam kenyataan media melalui laman sosial Facebook kelmarin berkata, UMNO sudah mengenal pasti calon paling sesuai untuk diketengahkan bagi PRK itu dan meminta pimpinan daripada UMNO dan MIC mencapai kata sepakat dalam masa terdekat.

Bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands milik MIC dan sepatutnya tidak timbul spekulasi kononnya ia akan diserahkan kepada parti komponen BN yang lain.

Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah dilihat antara nama paling layak bertanding di kerusi berkenaan, sehinggalah khabar angin mengenai kemungkinan UMNO meletakkan calon mereka mula tersebar sejak hujung minggu lalu.

Selain nama Wan Rosdy, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut disebut-sebut bakal diletakkan sebagai calon pada PRK itu.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan penjelasan mengenai khabar angin itu daripada pimpinan UMNO Bahagian Cameron Highlands menemui jalan buntu apabila kebanyakan daripadanya enggan mengulas lanjut.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan berkenaan.

Pada PRU14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi selepas memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain iaitu M Manogran (DAP) yang meraih 9,710 undi, Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi), Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 12:28 PM