Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak merampas dadah bernilai RM126.4 juta sejak awal tahun ini hingga September lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu membabitkan tangkapan keseluruhan seramai 10,086 orang.

"Ia membabitkan seramai 1,868 orang ditangkap kerana membekal, 4,884 orang (memiliki), 134 orang mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 3,200 orang ditangkap disebabkan positif ujian saringa awal air kencing.

"Bagi rampasan dadah pula, sebanyak 267.368 kilogram (kg) syabu bernilai RM 11.8 juta, ketamin (RM111.2 juta), 141 biji pil ecstasy (RM2,538), 500 biji pil yaba (RM5,000) dan 703 biji pil erimin 5 (RM10,549)," katanya

Beliau berkata demikian ketika sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Mohd Yusri, berkata, keseluruhan nilai sitaan harta bagi kesemua rampasan dadah berkenaan adalah RM7.4 juta.

"Bagi Seksyen C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sebanyak 544 orang sudah dituduh di mahkamah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, JSJN Perak melupuskan pelbagai dadah bernilai lebih RM4.8 juta yang membabitkan kes dari 15 daerah di negeri ini sejak 2003 hingga tahun ini.

Menurutnya, pelupusan membabitkan 4,845 kertas siasatan sepanjang tempoh 19 tahun itu dengan kesemua eksibit adalah hasil daripada serbuan dan rampasan yang dilakukan serta sudah selesai daripada segala prosiding mahkamah.

Katanya, JSJN PDRM Perak akan mengadakan pelupusan barang kes dadah pada hari ini dengan menghantar kesemua barang kes kepada syarikat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelanduk di Negeri Sembilan.

"Jumlah dadah yang akan dibuat pelupusan adalah heroin 3,004.24 gram (g), ganja (14,147.19 g), syabu (5,622.33 g), ketamin (2,428.67 g) ecstasy (52.19 g), pil khayal (0.50 g), eramin 5 (4,461.14 g).

"Selain itu, daun ketum (8,405.91 kilogram), cecair ketum (3,634.17 liter), ubat batuk (4,474.53 mililiter), monoacetylmorphine (2.10 g), heroin monoacetylmorphine (62.04 g) dan lain-lain dadah 78,980.74 g," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 1:37 PM
MOHD Yusri (empat kanan)  menunjukkan barang  rampasan yang akan dilupuskan. FOTO L Manimaran
MOHD Yusri (empat kanan) menunjukkan barang rampasan yang akan dilupuskan. FOTO L Manimaran