Zuliaty Zulkiffli


POLIS melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas sejak enam tahun lalu bernilai RM8 juta.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ia membabitkan tangkapan dan rampasan dadah di negeri itu sejak 2015.

Menurutnya, semua dadah itu diserahkan kepada Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd yang berpusat di Bukit Pelanduk, Port Dickson iaitu syarikat yang berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar untuk dilupuskan.

Katanya, statistik Januari hingga Ogos tahun ini menunjukkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjaya menahan 6,879 orang mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Antara jenis dadah yang dirampas tahun ini adalah heroin (64.55 kilogram (kg), syabu (35.14 kg), pil estacy, pil Yaba dan pil Eramin 5 (5,664 biji), ganja (1.42 kg), empat batang pokok ganja, kafein (126.03 kg), 157.58 liter kodein (ubat batuk), ketamin (0.13 kg), cecair ketum (2,131.96 liter) dan daun ketum (14628.04 kg).

"Semua rampasan itu bernilai RM1.81 juta," katanya pada sidang media Pelupusan Dadah di pekarangan IPK Kedah, di Alor Setar, hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Asisten Komisioner Mohd Zaki Ashar.

Hasanuddin berkata, tangkapan dan rampasan itu membabitkan 5,511 kertas siasatan yang membabitkan bekalan dan memiliki (4,169 kertas siasatan), penagih dadah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih dadah (1,342 kertas siasatan).

Beliau berkata, pertuduhan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini adalah 3,529 kes sudah dituduh bersamaan 85 peratus (bekalan dan memiliki), 506 kes sudah dituduh (penagih dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 bersamaan 45 peratus).

"Bagi tindakan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 pula membabitkan 119 tangkapan.

"Bagaimanapun, penagih yang ditangkap mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1985 boleh dituduh ke Seksyen 39C ADB 1952," katanya.

Hasanuddin berkata, untuk dadah yang akan dilupuskan hari ini, ia membabitkan 5.71 kg dadah jenis heroin, syabu (2.16 kg), ganja (0.67 kg), 1,549 biji pil estacy, pil WY, pil Yaba dan Eramin 5.

Beliau berkata, turut dilupuskan adalah ketamin (0.04 kg), 18.98 liter codeine/ dipyhdramine dan 542,751 liter cecair ketum dan 3,223.15 kg daun ketum.

PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.
PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 4:05 PM