ANTARA dadah yang dirampas dalam Ops Tapis Bersepadu. FOTO Ihsan Polis Kelantan
ANTARA dadah yang dirampas dalam Ops Tapis Bersepadu. FOTO Ihsan Polis Kelantan
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Seramai 233 individu ditahan atas kesalahan memiliki dadah pelbagai jenis bernilai RM216,203 melalui Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan selama tiga hari di seluruh Kelantan bermula 1 Februari sehingga semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan membabitkan 231 lelaki dan dua wanita yang berusia 16 sehingga 65 tahun yang disyaki melakukan jenayah penyalahgunaan dadah.

Katanya, antara dadah yang dirampas ialah heroin seberat 13.29 gram (g), ganja 10.3 kilogram (kg), pil kuda sebanyak 17,313 biji, syabu 15g dan 12 biji pil psikotropik.

"Turut dirampas 14.36 liter kodien, 73 biji pil erimin serta 38.3 kg daun ketum dan 251.15 liter air ketum.

"Dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan untuk 29,301 penagih," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua individu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun (AR) 1952.

Katanya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita kenderaan dan wang tunai bernilai RM 8,660.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan, masing-masing berusia 18 tahun, di tepi jalan hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di Rantau Panjang, kerana dipercayai memiliki 4,000 biji pil kuda.

"Turut ditangkap seorang remaja lelaki warga Thailand, berusia 16 tahun di pangkalan haram Che Kasim, Rantau Panjang kerana memiliki 10.3 kg dadah jenis ganja.

"Tangkapan dan rampasan kali ini adalah hasil kejayaan 132 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Kelantan yang terbabit di dalam operasi berkenaan.

"Polis Kelantan khususnya JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri Kelantan selain turut mengharapkan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 6:58 PM