Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sudah lama beliau memecat menteri Perikatan Nasional (PN) daripada menganggotai Kabinetnya jika benar-benar serius mahu melakukan tindakan itu.

Jelasnya, kenyataan berhubung pemecatan anggota menteri PN yang diucapkan sebelum ini sekadar berseloroh.

"Dalam hal ini, kalau saya serius dia (menteri-menteri PN) sudah kena pecat dah, tapi dia (mereka) masih ada dalam Kabinet, saya tak pecat, itu maksudnya saya berselorohlah," katanya di sini, hari ini.

Ismail Sabri mengulas kenyataan seorang anggota Kabinet daripada Bersatu yang memaklumkan masih belum terlambat untuk beliau memecat jemaah menteri PN yang memangku jawatan ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dilapor berkata terkilan dengan kenyataan Ismail Sabri mengenai 'pecat menteri' itu yang dipercayai merujuk kepada tindakan 12 menteri PN menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah pembubaran Parlimen.

Abd Latiff berpandangan, kenyataan 'pecat menteri' tidak sepatutnya disebut dalam ucapan politik walaupun disampaikan secara gurauan dan sinikal.

Ismail Sabri Yaakob ditemui media sempena Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini. FOTO DANIAL SAAD
Ismail Sabri Yaakob ditemui media sempena Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 2:44 PM