Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Kerusi Parlimen Tasek Gelugor diyakini akan kembali kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BN khususnya Umno akan berusaha memastikan kerusi itu dapat ditawan semula, sekali gus menjaga kebajikan pengundi di situ.

"Kerusi parlimen ini adalah kerusi kita (Umno), tetapi ada orang rompak dan bawa lari (lompat parti).

"Jadi saya mahu pastikan Parlimen Tasek Gelugor ini kembali semula ke pangkuan Barisan Nasional, maka sebab itu saya datang ke sini," katanya yang hadir di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini, hari ini bagi merasmikan Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia.

Pada pilihan raya lalu (PRU-14), Datuk Shabudin Yahaya memenangi kerusi Tasek Gelugor atas tiket BN-Umno dengan majoriti tipis 81 undi.

Beliau yang menyandang kerusi selama dua penggal bagaimanapun mengumumkan keluar parti pada 14 Disember 2018 dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.

Dalam pada itu, mengulas mengenai calon mewakili parti untuk kerusi berkenaan, Perdan Menteri berkata, terdapat lebih daripada satu nama dikemukakan sebagai calon namun, pemilihannya masih belum diputuskan pimpinan parti.

"Perkara ini (nama calon) masih menjadi rahsia kerana ia adalah perjumpaan tertutup. Apa-apa pun kriteria yang ditetapkan adalah mereka yang boleh menang, boleh diterima dan disukai.

"Berhubung kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang yakin menang untuk kerusi ini, apa yang saya boleh katakan bahawa kita lebih yakin berbanding beliau, memandangkan ini sebenarnya adalah kerusi kita tetapi calon kita (dulu) yang melompat parti.

"Bahkan semasa tsunami politik melanda dulu pun, kerusi ini tetap juga dimenangi BN," katanya.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ditemui media sempena Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini. FOTO Danial Saad
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ditemui media sempena Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor di sini. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 2:23 PM