AHMAD Maslan. FOTO arkib NSTP
AHMAD Maslan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Pontian: UMNO berhasrat berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyatakan pandangan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO berpendapat PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum Barisan Nasional (BN) yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibincangkan dahulu bersama pucuk pimpinan parti sebelum ia disampaikan kepada Perdana Menteri.

"Momentum sangat baik ketika ini, kalau lambat takut orang lupa. Kemenangan dua pertiga yang diperoleh BN ketika PRN Melaka pada Sabtu lalu memberi gambaran sokongan padu diterima parti.

"Berhubung PRU15, ia akan dibincangkan selanjutnya dengan pucuk pimpinan parti sebelum disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai hasrat UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Ziarah Kasih di Kampung Dalam Pontian, di sini, hari ini.

AHMAD (dua kiri) ketika program Ziarah Kasih di Kampung Dalam Pontian. FOTO ihsan Pejabat Ahli Parlimen
AHMAD (dua kiri) ketika program Ziarah Kasih di Kampung Dalam Pontian. FOTO ihsan Pejabat Ahli Parlimen

Ahad lalu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN.

Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO dilaporkan sudah menyuarakan pandangan itu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu, selepas sahaja BN memenangi PRN Melaka.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kemenangan BN pada PRN Melaka disebabkan kombinasi pelbagai faktor.

Beliau berkata, antaranya jentera parti, calon muka baharu, selain faktor bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membantu kempen UMNO dan BN.

"Pada mulanya kita ramalkan dapat menang18 ke 20 kerusi,tetapi lebih manis capai kemenangan dua pertiga. Ini menunjukkan angin perubahan rakyat dan pengundi yang mahukan kerajaan BN di Melaka.

"Kombinasi pelbagai faktor jadi resipi kemenangan BN. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang jalani rawatan di Jerman turut beberapa kali menghubungi pemimpin, jentera dan calon melalui sidang video, bagi membantu BN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 1:08 PM