Asrol Awang

Kuantan: Program Keluarga Aspirasi Kepulihan peringkat kebangsaan yang dilancarkan hari ini, diyakini membantu merawat penagihan dadah di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia sejajar dengan perubahan semasa yang memperlihatkan trend penyalahgunaan dadah daripada jenis organik kepada jenis sintetik.

Kata Hamzah, program yang dilaksanakan adalah satu daripada komponen yang terkandung dalam model rawatan digunakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"AADK juga mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah daripada pendekatan 'tough and rugged' kepada satu pendekatan yang lebih holistik dan prihatin.

"Ia merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial dan spiritual seseorang klien dan keluarganya dikenali sebagai Model i-Pulih AADK.

"Kajian menunjukkan bahawa sokongan keluarga memainkan peranan yang penting dalam proses rawatan dan pemulihan dadah dan menghindarkan klien daripada kembali menagih," katanya.

Hamzah berkata demikian ketika berucap pada Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika melancarkan Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Kuantan. FOTO Asrol Awang
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika melancarkan Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Kuantan. FOTO Asrol Awang

Program dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hamzah berkata, komponen sokongan keluarga yang lebih berstruktur diperkenalkan sejak 2020 dan ia terbukti berkesan apabila tahap pengekalan kepulihan klien yang hanya 20 peratus pada 2015 kepada 71 peratus pada September lalu.

"Inisiatif Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga (KSKK) adalah instrumen sokongan yang menyediakan ruang dan peluang kepada ahli keluarga untuk berkongsi permasalahan dan mencari penyelesaiannya.

"Program ini diharap mampu mengurangkan stigma terhadap isu penagihan dadah sekali gus mengiktiraf peranan keluarga sebagai elemen sokong bantu pemulihan klien sepanjang hayat.

"Program ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang terkesan untuk berkongsi pendapat, pengalaman, keupayaan dan pemikiran bagi membentuk kelompok yang ampuh dalam mengekalkan kepulihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 3:29 PM