Aminuddin (kanan) ketika menjawab pertanyaan lisan mengenai Rang Undang-Undang Pertama: Rang Undang-Undang Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung dan Tanah Adat Lingkungan 2022 pada Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Aminuddin (kanan) ketika menjawab pertanyaan lisan mengenai Rang Undang-Undang Pertama: Rang Undang-Undang Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung dan Tanah Adat Lingkungan 2022 pada Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti-Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.

Usul bagi pindaan itu dikemukakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan disokong sebulat suara oleh 35 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang hadir ketika sidang Dun Khas sempena Persidangan Ketiga Penggal kelima Dun Negeri Sembilan ke-14.

Aminuddin berkata, RUU yang dibentangkan ini bertujuan untuk meminda, memansuhkan peruntukan sedia ada serta memasukkan peruntukan baharu dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Katanya, selepas ini ia disebut UUTKNS bagi mewujudkan peruntukan larangan Adun bertukar parti.

"Kerajaan negeri memandang serius tindakan bertukar parti atau lompat parti yang menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum.

"Ini kerana ia membabitkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat mereka di Dun.

"Bagi membuktikan kerajaan negeri serius dalam perkara berkenaan larangan lompat parti ini, kita bersetuju untuk merealisasikannya melalui pindaan kepada UUTKNS ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Hasan (BN-Rantau) ketika sesi perbahasan RUU terbabit berkata, pihaknya bersetuju supaya pindaan berkenaan dilaksanakan.

"Selepas daripada pilihan raya, rakyat sudah beri mandat. Maka kerajaan yang dipilih mestilah menjalankan tugas untuk mentadbir negeri, mentadbir negara," katanya.

Sementara itu, dalam persidangan sama, Dun turut meluluskan RUU Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung Dan Tanah Adat Lingkungan 2022 selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Aminuddin berkata, pada masa ini, dilihat terdapat keperluan untuk mengemaskini undang-undang bertulis yang membabitkan tanah adat luak tanah mengandung dan tanah adat lingkungan agar urusan tanah adat berkenaan lebih tersusun dan sistematik.

Menurutnya, penggubalan Rang Undang-Undang Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung dan Tanah Adat Lingkungan 2022 ini memfokuskan kepada lima matlamat iaitu Meminda Customary Tenure (Lengkongan Lands) Enactment 1960 (Disemak 2017) dan menyediakan teks sahih dalam Bahasa Melayu.

Beliau berkata, selain itu, mengemas kini undang-undang tanah adat luak tanah mengandung dan tanah adat lingkungan agar selari dengan perkembangan hal ehwal tanah masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 4:20 PM