PERSIDANGAN DUN Negeri Sembilan meluluskan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti. FOTO ihsan Pejabat MB.
PERSIDANGAN DUN Negeri Sembilan meluluskan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti. FOTO ihsan Pejabat MB.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti-Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.

Usul bagi pindaan itu dikemukakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin dan disokong sebulat suara oleh 35 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika sidang DUN Khas sempena Persidangan Ketiga Penggal kelima DUN Negeri Sembilan ke-14.

Aminuddin berkata, selepas ini ia disebut UUTKNS bagi mewujudkan peruntukan larangan ahli Dewan Undangan Negeri bertukar parti.

"Kerajaan negeri memandang serius tindakan bertukar parti atau lompat parti yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum.

"Ini kerana ia membabitkan mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri.

Dalam pada itu, Mohamad Hasan (BN-Rantau) ketika sesi perbahasan RUU terbabit berkata, pihaknya bersetuju supaya pindaan berkenaan dilaksanakan.

"Selepas daripada pilihan raya, rakyat sudah beri mandat. Maka kerajaan yang dipilih mestilah menjalankan tugas untuk mentadbir negeri, mentadbir negara," katanya.

Sementara itu, dalam persidangan sama, DUN turut meluluskan RUU Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung Dan Tanah Adat Lingkungan 2022 selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Menurutnya, penggubalan Rang Undang-Undang Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung dan Tanah Adat Lingkungan 2022 ini memfokuskan kepada lima matlamat iaitu meminda Customary Tenure (Lengkongan Lands) Enactment 1960 (Disemak—2017) dan menyediakan teks sahih dalam Bahasa Melayu.

Beliau berkata, selain itu, undang-undang tanah adat luak tanah mengandung dan tanah adat lingkungan dikemaskini agar selari dengan perkembangan hal ehwal tanah masa kini.

"Selain itu juga, mewujudkan peruntukan-peruntukan baharu berkenaan pembangunan tanah adat luak tanah mengandung dan tanah adat lingkungan dengan mengekalkan prinsip-prinsip adat danmenambah baik peruntukan-peruntukan sedia ada agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 4:09 PM