KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Adun Sulaman ketika membentangkan pindaan RUU Perlembagaan Negeri Sabah bagi melarang Adun Sabah melompat parti. FOTO Mohd Adam Arinin
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Adun Sulaman ketika membentangkan pindaan RUU Perlembagaan Negeri Sabah bagi melarang Adun Sabah melompat parti. FOTO Mohd Adam Arinin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Sabah (Pindaan 2023) bagi melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bertukar parti dianggap sebagai langkah terbaik untuk masa depan politik Sabah.

Adun Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, walaupun beliau berpandangan bertukar parti juga baik, namun langkah mengelak wakil rakyat daripada melakukan perbuatan itu adalah lebih baik.

"Mereka yang beralih parti ada menjadi ketua menteri, menteri dan pembantu menteri, saya anggap ini baik. Jadi, adakah yang baik ini kita anggap tidak baik hari ini?

"Tapi walaupun saya beranggapan beralih parti baik, kalau ada lagi yang baik, kita luluskan peruntukan anti lompat (parti), saya sedia untuk berikan undi kelulusan.

"Sabah ini sebetulnya negeri atau wilayah yang lebih dulu daripada negeri lain atau Malaysia yang mempunyai hakikat bahawa anti lompat perlu diadakan sebagaimana kita berfikiran lebih ke hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Perlembagaan Sabah (Pindaan 2023) berkaitan larangan Adun bertukar parti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

RUU berkenaan diluluskan dengan undi lebih dua pertiga malam tadi selepas dibahas panjang lebar seramai 13 Adun kerajaan dan pembangkang.

Mohamaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, beliau tidak ragu menyokong RUU berkenaan kerana menganggapnya lebih baik berbanding beralih parti.

Sementara itu, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya memang daripada awal mahukan RUU itu diwujudkan di Sabah selepas partinya menjadi mangsa akibat tindakan keluar parti.

"Saya konsisten jangan abaikan mandat, suara rakyat, bantu kita sebagai YB (Yang Berhormat), yang bermaruah dan bukan yang melompat. Sedih, malu di Dewan Rakyat ramai tanya saya daripada 23 (Adun Warisan), sembilan lompat," katanya.

Beliau yang juga Adun Senallang bersama 13 lagi Adun Warisan menyokong RUU berkenaan, namun mereka tidak bersetuju terhadap pindaan Perkara 6(7) Perlembagaan Sabah berkaitan panduan Yang di-Pertua Negeri untuk memilih Ketua Menteri.

Mohd Shafie bagaimanapun berkata, RUU yang dibentangkan itu hampir menyamai undang-undang anti lompat membabitkan Ahli Parlimen yang diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang juga Adun Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, pembentangan RUU berkaitan larangan Adun bertukar parti adalah satu sejarah bagi Sabah.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, rakyat Sabah kini boleh menarik nafas lega apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membentangkan RUU berkenaan.

"Pindaan perlembagaan ini akan menyediakan ruang untuk pembentukan sebuah kerajaan yang lebih stabil. Itu sebabnya saya sepatutnya di Dewan Rakyat menjawab soalan tetapi saya wakilkan kepada timbalan dan hadir ke DUN kerana mahu menjadi sebahagian daripada sejarah kita meluluskan RUU ini," katanya.

Adun Kuamut, Datuk Masiung Banah pula berkata, imej wakil rakyat yang sebelum ini dilabel sebagai 'kaki lompat' dapat dipulihkan jika RUU larangan bertukar parti itu diluluskan.

Sambil mengakui beliau antara Adun yang banyak 'melompat' sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Masiung berharap rakyat memaafkan mereka.

Beliau juga menyangkal tuduhan kononnya tindakan melompat parti yang turut dilabel sebagai 'katak' adalah kerana sogokan dan tamak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 3:34 PM