DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Syaharim Abidin
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Syaharim Abidin
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan dakwaan rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya dirancang sejak enam bulan lalu bukan membabitkan pihak berkuasa sebaliknya, rancangan pihak tertentu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, komplot itu kemungkinan dirancang sejak Oktober tahun lalu apabila stor kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon dibom.

"Itulah sebahagian daripada komplot ini. Kemudian kerajaan bertukar saya dihalang untuk menghadiri di majlis-majlis mesyuarat kerajaan Persekutuan.

"(Mereka) berusaha bersungguh-sungguh, tapi gagal lah pasal saya pandai. Saya riuhkan noh.. terpaksa dibenarkan hadir. Itu komplot.

"Saya bukan maksudkan polis, saya tak mahu gaduh dengan kakitangan awam. Semua kakitangan awam negeri dan federal (persekutuan) adalah rakan saya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serahan Zakat Perniagaan Tahun Kewangan 2022/2023 Kumpulan Perbadanan Kerajaan Negeri Kedah Kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kononnya terdapat rancangan dan komplot untuk menangkap Muhammad Sanusi yang dirancang sejak enam bulan lalu.

Ketika ditanya adakah plot itu dirancang oleh pimpinan kerajaan Perpaduan, Muhammad Sanusi berkata beliau tidak tahu mengetahuinya.

"Tak tahu lah. Buatlah kesimpulan sendiri. Siapa yang dapat untung, dia lah rancang," katanya.

Malah Muhammad Sanusi turut memaklumkan beliau akan memberi keterangan mengenai dakwaannya itu kepada polis.

"Saya hari-hari diambil keterangan. Nampak tumpuan kepada saya berlebihan kan, itu lah orang kasihan kat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 8:26 PM