Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor akan menumpukan pengunaan media sosial terutama Facebook dan TikTok, bagi mendekati dan menarik perhatian golongan pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangan BN Johor Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, itu antara pendekatan yang akan digunakan parti itu dan BN susulan pendaftaran automatik Undi18, yang diwartakan 16 Januari lalu.

Katanya, pertambahan pengundi muda yang akan pertama kali mengundi dengan jumlah signifikan itu memerlukan pendekatan dan strategi berbeza berbanding sebelum ini.

ADHAM Baba (kiri) bersama Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (kanan) pada Mesyuarat BN. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ADHAM Baba (kiri) bersama Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (kanan) pada Mesyuarat BN. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Bagi UMNO dan BN, kita sudah mula menggunakan media sosial secara meluas sejak PRN Melaka lagi.

"Usaha memperkasakan kempen PRN dengan penggunaan media sosial yang lebih meluas berikutan jumlah pengundi muda yang hampir 750,000, menjadikan pertambahan pengundi negeri ini meningkat kepada 2.5 juta berbanding hanya 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Selain, Facebook dan TikTok, kita akan menggunakan keseluruhan platform media sosial yang ada untuk menyantuni pengundi khususnya pengundi muda susulan pengenalan Undi18.

"Kita lihat pengundi khususnya pengundi muda cenderung untuk menggunakan Facebook dan TikTok berbanding medium yang lain. Jadi, kita akan memberikan tumpuan kempen ke arah itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat BN Comms Johor di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, semalam.

Sementara itu, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, kesemua 26 bahagian UMNO Johor juga sudah bersiap sedia bagi mengaktifkan bilik gerakan di setiap bahagian negeri ini.

"UMNO juga sudah menyiapkan segala bahan penerangan sebagai persediaan kempen terutama penjelasan pelbagai isu supaya ia dapat disampaikan secara berkesan kepada pengundi nanti," katanya.

Dalam pada itu, Adham berkata,

UMNO Johor juga perlu melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya ia dapat menjadi garis panduan bagi melancarkan jentera parti untuk berkempen.

"Kita berharap SPR memperincikan tentang penggunaan media sosial dari aspek sekatan dan kebebasan menggunakan medium atas talian itu sepenuhnya.

"Ini kerana akaun TikTok yang dikendalikan Puteri UMNO Johor telah menerima 10 laporan sehingga disekat sementara, sedangkan kandungan video dimuat naik tidak berunsur provokatif dan penjelasan isu semasa.

"Jadi, kami mahu SPR serta Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk jelaskan adakah ini satu kaedah untuk menghalang penyampaian maklumat atau bermotifkan politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 12:36 PM