Dua lori yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan PDRM
Dua lori yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan PDRM
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Lelaki maut apabila lori dipandu bertembung dengan lori tangki di Kilometer 79, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, hari ini.

Kejadian pada 2.35 petang itu membabitkan lori jenis Volvo dipandu lelaki berusia 59 tahun dan lori tangki jenis Volvo dipandu lelaki berusia 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, pemandu lori meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya berusia 13 tahun cedera pada telinga kanan serta kaki kanan, sementara pemandu lori tangki tidak mengalami kecederaan.

"Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori tangki dari Prai menuju ke Kuala Krai dan setibanya di lokasi secara tiba-tiba lori dipandunya dilanggar di bahagian belakang tangki oleh lori dipandu mangsa dari arah bertentangan menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.

"Sementara, lori dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan menghala ke Gua Musang. Mangsa tersepit di dalam dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat di hantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaan hingga masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan sebuah lori tangki.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 12:37 AM