DUA lelaki yang ditahan selepas melakukan aksi 'wheelie'. FOTO Ihsan PDRM.
DUA lelaki yang ditahan selepas melakukan aksi 'wheelie'. FOTO Ihsan PDRM.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Padah menunggang motosikal secara merbahaya dengan membuat aksi 'wheelie', dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan masing-masing di Jalan Wakaf Che Yeh dan Kampung Merkang, dekat Pasir Puteh, semalam.

Mereka masing-masing ditahan jam 2 pagi di Jalan Wakaf Che Yeh dan 6.15 petang di Kampung Merkang menerusi Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan IPD Pasir Puteh.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika operasi, anggota bertugas mendapati sekumpulan motosikal yang datang dari arah lampu isyarat Batu Empat dan membuat pusingan U menghala ke lampu isyarat Wakaf Che Yeh sebanyak lima kali sambil bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi 'wheelie'.

Katanya, polis berjaya menahan seorang penunggang daripada kumpulan itu dan dibawa ke IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

"Dalam operasi sama di Pasir Puteh, pihak polis terlebih dahulu melihat sekumpulan motosikal yang datang dari arah simpang Tiga Merkang menghala ke arah Jalan Kampung Merkang sedang melakukan aksi 'wheelie'.

"Kita terus mengekori motosikal berkenaan dalam jarak dekat dan menahan seorang lelaki. Suspek dibawa ke IPD Pasir Puteh untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki itu termasuk yang berusia 21 tahun disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan aksi mengangkat tayar hadapan, yang mana aksi itu amat merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Muhamad Zaki berkata, dalam operasi itu, sebanyak 19 saman dikeluarkan dan pihak polis merampas dua motosikal jenis Honda EX5.

"Pihak polis mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai sekiranya terdapat kegiatan 'merempit' di kawasan mereka.

"Kita tidak berdiam diri dan sentiasa membuat intipan serta risikan terhadap kegiatan 'merempit' di seluruh daerah melalui pegawai dan anggota trafik yang akan bertindak apabila maklumat lengkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 12:11 AM