Sebahagian motosikal yang diperiksa. FOTO Azlan Hafeedz
Sebahagian motosikal yang diperiksa. FOTO Azlan Hafeedz
Oleh Azlan Hafeedz

Pasir Puteh: Budak lelaki 11 tahun dan 12 tahun antara 68 mat rempit yang ditahan ketika berlumba haram di Jalan Baru Selising-Labok di Kampung Alor Hijau, Selising, di sini, malam tadi.

Mereka ditahan dalam Operasi Roda Bersepadu dan Samseng Jalan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh yang bermula sejak 6 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superitendan Abd Rozak Muhammad berkata, sebanyak 68 motosikal diperiksa sepanjang operasi itu sebelum dibawa ke IPD Pasir Puteh untuk proses dokumentasi.

Katanya, 41 saman dikeluarkan membabitkan 68 kesalahan dengan kesalahan paling tinggi adalah tidak memakai topi keledar.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak mereka supaya tidak terbabit dalam aktiviti kurang berfaedah seperti merempit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 2:29 PM