Rosman Shamsudin


Slim River: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak mengambil tindakan segera dengan membaiki tambatan sungai yang dikenal pasti menyebabkan berlaku banjir di beberapa daerah di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya sudah berbincang dengan JPS mengenai tambatan sungai yang sepatutnya berfungsi bagi mengelakkan banjir , tetapi rosak akibat arus sungai yang terlalu deras.

Katanya, apabila hujan lebat dan air terlalu banyak menyebabkan tambatan sungai itu pecah kerana tidak mampu menahan arus deras.

"Pihak JPS perlu membaiki semula tambatan sungai terbabit dengan mengambil faktor arus sungai terbabit yang menjadi punca kejadian banjir di daerah Muallim dan daerah lain sebelum ini.

"Kejadian banjir yang berlaku di Kampung Balun dan Taman Slim Permai dikenal pasti berpunca daripada tambatan sungai yang pecah di Sungai Slim berdekatan Kampung Pasir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Muallim, di sini, hari ini.

SAARANI (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Pejabat KEMAS Daerah Muallim. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
SAARANI (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Pejabat KEMAS Daerah Muallim. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Mohd Zaidi Aziz; Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak, Azmi Osman; Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris, Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Faizal Nizam Md Nor.

Katanya, tambatan sungai yang bakal dibaiki oleh pihak JPS perlu mengambil faktor kesan jangka masa pendek dan panjang agar risiko banjir dapat diatasi dengan berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 9:21 PM