Ahmad Hasbi

Seremban: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Penjara Malaysia komited untuk melaksanakan hukuman dalam komuniti terhadap pesalah jenayah ringan yang dilihat lebih berkesan dalam usaha memulihkan golongan itu.

Inisiatif ini bukan sahaja dapat menyesuaikan banduan dalam komuniti selepas bebas kelak, malah dapat menyelesaikan masalah kesesakan di penjara dan mampu menjimatkan kos sebanyak RM182 juta.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abd Rahman berkata, antara alternatif hukuman dalam komuniti adalah menerusi Perintah Kehadiran Wajib yang mana lebih 96 peratus daripada 6,594 pesalah patuh kepada peraturan itu.

"KDN komited untuk melaksanakan alternatif hukuman pemenjaraan dan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan PKW bacaan kali pertama pada Disember 2021 dan jangka diluluskan dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

"RUU ini akan membolehkan mahkamah memerintahkan hukuman alternatif pemenjaraan terhadap pesalah dengan mengambil kira kesalahan kali pertama dan hukuman tiga tahun ke bawah atau mana-mana kesalahan yang layak bagi tempoh maksima 12 bulan," katanya.

IBRISAM ketika hadir pada sambutan Hari Penjara Ke-232 di Pasaraya NSK, Seremban 2. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
IBRISAM ketika hadir pada sambutan Hari Penjara Ke-232 di Pasaraya NSK, Seremban 2. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Terdahulu beliau hadir ke Sambutan Hari Penjara Ke-232 di Pasaraya NSK, Seremban 2, di sini, hari ini, yang kali pertama diadakan di kawasan luar penjara bertepatan dengan tema tahun ini 'Memperkasakan Komuniti Koreksional'.

Ibrisam berkata, sehingga kini seramai 6,594 pesalah menjalani Perintah Kehadiran Wajib dengan kadar pematuhan melebihi 96 peratus.

"Banduan yang layak menjalani hukuman pemulihan dalam komuniti akan terus diberi perhatian oleh kerajaan.

"Dijangkakan seramai 10,000 banduan yang layak akan menjalani program seperti Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni.

"Dijangkakan 80 peratus banduan terbabit akan ditempatkan dalam industri dan seterusnya dapat mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.

"Melalui program ini juga kerajaan mampu menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 3:07 PM