Asrol Awang


Kuantan: Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menunggu tarikh menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Wan Rosdy berkata, setakat ini, beliau belum mendapat tarikh menghadap baginda.

"Saya tidak dapat tarikh Tuanku (Pemangku Raja Pahang) untuk menghadap dan setakat ini tidak boleh maklumkan tarikh DUN Pahang dibubarkan," katanya kepada media ketika diminta mengulas tarikh pembubaran DUN Pahang.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Jentera Traktor di perkarangan Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Ditanya jika Barisan Nasional (BN) Pahang akan menampilkan calon baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata, setakat ini belum dimuktamadkan.

Mengenai manifesto BN Pahang pada PRU-15, Wan Rosdy berkata, pembentangan Belanjawan Pahang 2023 boleh dianggap manifesto.

"Belanjawan Pahang 2023 boleh dianggap sebagai manifesto, belanjawan kerajaan negeri," kata Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang.

Pada PRU-14, BN kekal meneraju Pahang selepas memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN yang dipertandingkan, sementara Pakatan Harapan (PH) memperoleh sembilan kerusi manakala PAS, lapan kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 11:51 AM