WAN Rosdy ketika ditemui media di Kuantan. FOTO Asrol Awang.
WAN Rosdy ketika ditemui media di Kuantan. FOTO Asrol Awang.
Asrol Awang


Kuantan: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan pembentukan kerajaan negeri itu daripada gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, Tengku Hassanal juga berkenan melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar ke-15.

Katanya, Majlis Pengurniaan Surat Cara Lantikan Dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 11 pagi, esok.

Sebelum itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah berkenan menerima mengadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat pimpinan parti-parti politik yang terbabit susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

"Berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Pemangku Raja Pahang telah berkenan untuk melantik Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada PRU-15, BN memperoleh 16 kerusi daripada 41 kerusi DUN Pahang dan PH memperoleh lapan kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh 17 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 5:23 PM