WAN Rosdy mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang buat penggal kedua pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar pada 28 November lalu. FOTO BERNAMA

Asrol Awang

Kuantan: Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Pahang dijadual berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan dekat sini, esok.

Istiadat berkenaan akan diadakan jam 2.30 petang.

Namun, tiada kenyataan berhubung pembahagian 10 EXCO yang mewakili BN dan PH.

Difahamkan, lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada BN dan dua Adun PH dijangka dilantik sebagai EXCO Pahang.

Isnin lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang pada 14 Oktober lalu.

Pelantikan Wan Rosdy, 64, disempurnakan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar.

Dengan pelantikan Wan Rosdy sebagai Menteri Besar, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung membentuk kerajaan negeri Pahang selepas mendapat majoriti 24 kerusi Dun Pahang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), BN memperoleh 16 kerusi daripada 41 kerusi Dun dan PH memperoleh lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh 17 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 4:05 PM