Asrol Awang


Kuantan: Pembentukan Kerajaan Pahang terus menjadi tanda tanya berikutan tiada pengumuman rasmi setakat ini.

Dengan pelbagai spekulasi pembentukan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) dan BN, segala-galanya belum terjawab.

Namun, menerusi hantaran Facebook Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini, ia seolah-olah memberikan gambaran kerjasama antara PN dan BN.

Dalam hantaran itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas meminta mendoakan yang terbaik untuk negeri Pahang.

"Doakan kebaikan untuk negeri Pahang. Insya Allah," katanya menerusi hantaran ringkas itu.

Menerusi hantaran itu juga, Tuan Ibrahim yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Cheka dalam kawasan Parlimen Lipis turut berkongsi sekeping gambar bersama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi BN Pahang.

Kelmarin, Majlis Tertinggi PN melantik Tuan Ibrahim untuk mengetuai rundingan pembentukan kerajaan Pahang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), PN Pahang memperoleh 17 daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang, manakala BN, hanya memperoleh 16 kerusi.

Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh lapan kerusi pada pilihan raya kali ini.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada rundingan yang dilakukan tiga parti berkenaan iaitu PN, BN dan PH dalam membentuk kerajaan.

Perbincangan berkenaan boleh dilaksanakan antara PN-BN atau BN-PH.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 11:31 AM