PERSIDANGAN DUN Pahang pada 11 Oktober lalu. FOTO Bernama
PERSIDANGAN DUN Pahang pada 11 Oktober lalu. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuantan: Notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tengah hari tadi, kata Yang Dipertua DUN Datuk Seri Ishak Muhamad.

Notis tersebut diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli di Wisma Sri Pahang di sini, selepas Ishak menerima Watikah Pengisytiharan Pembubaran DUN ke-14 daripada Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Watikah itu ditandatangani Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menjalankan kuasa diberikan kepada baginda di bawah Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Terdahulu, Wan Rosdy pada sidang media khasnya mengumumkan keputusan kerajaan negeri membubarkan DUN ke-14 hari ini, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak bersama Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pada pilihan raya umum lalu, BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan PAS (lapan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 1:59 PM