MUHAMAD Tarmizi Awang@Yaacob
MUHAMAD Tarmizi Awang@Yaacob
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Peruntukan RM1.2 juta yang akan disalurkan kerajaan menerusi Bajet 2023 untuk menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak disambut baik guru di kawasan pedalaman.

Guru Pendidikan Islam dan bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kut di Daro, Mukah, Sarawak, Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob, 36 berkata, kemudahan fasiliti yang baik penting untuk sekolah pedalaman supaya tidak ketinggalan dalam arus kemodenan.

"Pengumuman dibuat juga menggembirakan guru kerana dapat mengajar dalam keadaan lebih selesa dengan fasiliti lebih baik.

"Usaha menaik taraf sekolah daif juga akan mewujudkan suasana sekolah yang lebih kondusif.

"Murid dan pelajar juga akan dapat belajar dengan selesa ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.

"Ia selari dengan konsep Sekolahku Sejahtera yang dirangka berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat," katanya ketika dihubungi.

Bajet 2023 dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini, hari ini menyaksikan sektor pendidikan terus diutamakan dengan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu sebanyak RM55.6 bilion.

Menerusi Bajet 2023, sebanyak 123 projek naik taraf infrastruktur akan dilaksanakan membabitkan sekolah Sabah manakala 182 projek lagi di Sarawak.

Peruntukan RM430 juta pula akan disalurkan untuk pembinaan sekolah baharu.

Lima sekolah baharu dibina di Sabah, Sarawak, Terengganu, Cyberjaya dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 8:24 PM