GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


KERAJAAN Sarawak sudah membayar RM700 juta daripada RM1 bilion peruntukan melalui perundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek menaik taraf sekolah daif di negeri itu, tahun ini.

Menteri Kanan Infrastruktur, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM350 juta sudah digunakan untuk melaksanakan projek fasa pertama di Sarawak yang membabitkan projek menaik taraf 41 sekolah.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sebahagian daripada 41 sekolah itu dalam pembinaan, manakala sebahagian lagi dalam proses perolehan.

"Dalam projek fasa kedua dengan peruntukan melalui perundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak itu pula, sebanyak 52 sekolah dikenal pasti akan dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM350 juta dan kini ia masih dalam proses pratender.

"Bagi fasa ketiga yang akan dilaksanakan dengan baki berjumlah RM300 juta daripada peruntukan RM1 bilion itu pula sedang dimuktamadkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media status terkini pelaksanaan projek sekolah daif di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, di Kuching, hari ini.

Fadillah berkata, ketika ini pihaknya bersama Kementerian Pendidikan memperhalusi isu berbangkit antara Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mempercepatkan pelaksanaan projek sekolah daif itu.

"Projek itu akan memberi impak dan kesan yang besar kepada pelajar, guru serta ibu bapa apabila sekolah itu mendapat bangunan baru yang lebih sempurna, selamat dan selesa," katanya.

Sementara itu, mengenai projek menaik taraf sekolah daif dengan peruntukan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, Fadillah berkata, tahun lalu sebanyak 43 sekolah daif dilaksanakan dengan Peruntukan Pembangunan (P63) sebanyak RM128 juta.

"Daripada 43 sekolah itu, lapan di Semenanjung dengan peruntukan sebanyak RM18 juta; tiga sekolah di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM10 juta dan 32 sekolah di Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

"Selain itu, terdapat 19 sekolah daif di Sabah dilaksanakan dengan peruntukan PFI(II)A sebanyak RM78 juta yang diluluskan dalam Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMKe-11)," katanya.

Dalam peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan bagi tahun ini pula, katanya, sebanyak RM6.6 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 22 projek di Semenanjung Malaysia dan sebanyak RM226.5 juta untuk melaksanakan 65 projek di Sabah.

"Kesemua projek itu sudah diserahkan pelaksanaannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri kecuali tiga projek di Sabah yang dilaksanakan sepenuhnya oleh JKR Malaysia.

"Bagi Semenanjung Malaysia, tujuh projek dijangka ditender pada Julai depan, dengan tiga projek masih menunggu keputusan Notice Of Change (NOC) manakala 11 projek ditangguhkan (KIV) disebabkan projek itu tidak memenuhi skop projek sekolah daif," katanya.

Selepas sidang media itu, Fadillah kemudiannya meninjau pelaksanaan projek menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Grogo, di Bau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 7:23 PM