MUSLIMIN Yahya (kanan) menyampaikan  sijil penghargaan kepada 180 guru di  Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat PPD Jerantut hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
MUSLIMIN Yahya (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada 180 guru di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat PPD Jerantut hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses melengkapkan kemudahan solar hibrid di 127 sekolah pedalaman di Sarawak bagi memastikan sekolah di kawasan terpencil mendapat bekalan elektrik untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahya berkata, proses pertukaran daripada sistem grid talian elektrik kepada genset dan selepas ini solar hibrid adalah untuk mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik di sekolah pedalaman di negeri berkenaan.

Menurutnya, perkara itu sudah dimulakan dengan kerjasama daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk proses peralihan daripada sistem grid kepada genset dan akan tumpu kepada sistem solar hibrid pula.

"Manakala di Sabah, KPM turut memberikan perhatian khusus bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik bagi sekolah kategori luar bandar ini dengan bantuan Sabah Electric Sdn Bhd (SESB), katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut.

Seramai 180 orang guru dan kakitangan pendidikan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Perlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, Pengarah Pendidikan Pahang, ZaimiAbu Bakar , dan Pegawai Pendidikan Daerah, Dr Azman Uzir.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kerja naik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, Muslimin berkata setakat ini kira-kira 50 peratus daripada lebih 1,100 sekolah dikenal pasti sudah mendapat manfaat daripada program naik taraf berkenaan.

"Usaha membaiki kemudahan sekolah daif ini agak sukar dan lambat kerana masalah perhubungan, disebabkan sekolah tersebut terletak jauh di pedalaman dan memerlukan kos yang tinggi.

"KPM sangat serius menangani sekolah daif ini dalam usaha memberi pendidikan terbaik kepada pelajar kawasan luar bandar.

"Kita sudah memberi fokus pembangunan sekolah daif ini lebih dari 50 peratus dan pada Rancangan Malaysia ke 12 masih ada peruntukkan untuk sekolah sekolah daif terutamanya di Sarawak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 11:55 AM