- Foto hiasan
- Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, memerintahkan kes penyampai radio Ismahalil Hamzah yang dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 409 gram tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Wong Chai Sia mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Sementara itu, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Ismahalil ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, pihaknya telah menerima laporan kimia daripada Jabatan Kimia yang mendapati berat dadah itu berkurangan dari 409 gram kepada 374.6 gram.

"Bagaimanapun, kes itu masih di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Ismahalil, 49, didakwa mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 409 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini, pada jam 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 4:25 PM