PENJAWAT awam direman kerana menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran Program Jualan Rahmah 2023. FOTO Ihsan SPRM
PENJAWAT awam direman kerana menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran Program Jualan Rahmah 2023. FOTO Ihsan SPRM
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran Program Jualan Rahmah 2023 berjumlah kira-kira RM22,000.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini, hingga 26 Januari dikeluarkan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Semalam, SPRM menahan suspek wanita berusia berusia 30-an, kira-kira jam 9.00 malam di pejabat SPRM Kedah ketika dia hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pemilik syarikat untuk menggunakan invois yang mengandungi butiran palsu yang mana kuantiti jualan melebihi kuantiti sebenar yang terjual.

Perkara ini dikesan apabila invois yang dikemukakan tidak sama mengikut Laporan Ringkas Program Jualan Rahmah 2023 yang dikeluarkan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Soock Wee a/l Ei Tem ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 10:54 PM