BURUH ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO Norsyazwani Nasri
BURUH ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


Sibu: Seorang buruh pembinaan ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pendawaian elektrik i tapak pembinaan rumah di Bukit Penyau di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, lelaki berusia 22 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring oleh seorang penyelia tapak pembinaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan terjumpa mangsa dalam keadaan terbaring di tapak pembinaan itu.

"Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah pergi ke tempat kejadian dan menemukan seorang lelaki pekerja tapak pembinaan warga tempatan terbaring dalam tapak pembinaan itu.

"Turut ditemukan berhampiran mayat ialah wayar elektrik yang bersambung dengan generator," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik semasa membuat penyambungan dengan soket gerudi.

"Siasatan tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

"Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat hospital Sibu untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 8:03 PM