Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Lelaki ditemukan maut di bawah tiang elektrik di Jalan Cemetry Reserve berhampiran Taman Flamingo, Manggatal, di sini, semalam, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

Mayat mangsa berusia lingkungan 30 tahun itu ditemukan oleh orang awam yang kemudian membuat laporan polis, 5.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, mayat lelaki yang ditemui berada dalam keadaan terbaring di tepi tiang elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Katanya, pihak SESB dimaklumkan dan tiba di tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan bagi memastikan keadaan selamat sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

"Berdasarkan keadaan, kematian berlaku lebih 24 jam. Hasil pemeriksaan awal, lelaki itu disyaki mati akibat renjatan elektrik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan tubuh mangsa tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

LOKASI penemuan mayat mangsa. FOTO Juwan Riduan
LOKASI penemuan mayat mangsa. FOTO Juwan Riduan

"Tiada sebarang kecederaan untuk dikaitkan dengan jenayah setakat ini.

"Mayat lelaki terbabit dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth I, bagi proses bedah siasat," katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut berada di lokasi kejadian bagi operasi mengeluarkan mayat mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 8:00 AM