BERNAMA

Sandakan: Seorang lelaki warga asing ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di dalam sebuah longkang besar Jalan Labuk, Bandar Sibuga Jaya dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata, mayat lelaki berumur 35 tahun itu ditemukan oleh orang awam pada kira-kira 6.30 pagi.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mengesyaki mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik, berdasarkan keadaan kabel elektrik yang masih melekat pada tubuhnya ketika mayat ditemukan.

"Polis juga percaya mangsa terlibat dengan jenayah curi kabel disebabkan penemuan kesan kabel elektrik yang dipotong serta peralatan mencuri kabel seperti pemotong wayar, pemutar skru dan pisau ditemukan tidak jauh dari mayat mangsa," katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Azhar berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent di sini untuk bedah siasat.

Berita berkaitan

Jumpa mayat dalam longkang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 8:34 PM