GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Erika George


Sibu: Seorang lelaki warga Indonesia meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik semasa bekerja di sebuah limbungan kapal di tepi Sungai Rejang, dekat sini, semalam.

Pada kejadian 10.58 pagi itu, mangsa maut dikenal pasti sebagai Andi Irfan, 20, yang berasal dari Sulawesi Indonesia.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.

"Sejurus sampai di lokasi kejadian, polis mendapati seorang lelaki ditemui meninggal dunia berhampiran tempat memperbaiki serta mengimpal kapal.

"Pemeriksaan awal mendapati tubuh mangsa melecur pada pergelangan tangan kanan dan lebam pada bahagian badan dipercayai terkena renjatan elektrik," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas pekerja lain di limbungan kapal terbabit, mangsa sempat berbual dengan rakan senegara sebelum terkena renjatan elektrik.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu bagi tujuan bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 9:34 AM