Pemuda ditemui maut terkena renjatan elektrik kabel utama di bumbung sebuah rumah di Kampung Hilir, Sibu, malam tadi.  FOTO IHSAN JBPM
Pemuda ditemui maut terkena renjatan elektrik kabel utama di bumbung sebuah rumah di Kampung Hilir, Sibu, malam tadi. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Sibu: Seorang pemuda maut terkena renjatan elektrik di Kampung Hilir, di sini, malam tadi.

Mangsa, Syazwan Saifullah Roslan, 22, terkena renjatan elektrik pada kabel utama di atas bumbung sebuah rumah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.27 malam.

Susulan itu katanya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, komander operasi melakukan pemeriksaan dan mendapati seorang mangsa lelaki berada di atas bumbung rumah yang sudah terkena renjatan elektrik pada kabel elektrik utama.

"Bomba kemudian bertindak menghubungi pihak Sesco bagi memutuskan bekalan elektrik," katanya.

Menurutnya, selepas bekalan elektrik diputuskan, bomba menurunkan mangsa untuk diperiksa oleh pihak paramedik yang turut berada di lokasi.

"Pihak paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 10:23 AM