Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Umno Kelantan membuat keputusan tidak lagi bersama dengan Pas negeri melalui Muafakat Nasional (MN) yang berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Umno membuat keputusan itu berikutan Pas Kelantan yang masih menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tetap memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, keputusan berkenaan mencapai kata sepakat daripada ahli Umno negeri selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Pas negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.

"Pendirian ini dibuat dengan rasa yang sedih kerana kita akan mengharungi jalan berliku secara solo.

"Terus terang di sini, pihak pimpinan Pas Kelantan meminta kepada kita untuk menangguhkan dulu keputusan yang dibuat ini.

"Tetapi saya selaku pemimpin Umno di Kelantan mengambil risiko dengan membuat keputusan ini. Saya menganggap ini bukan saja keputusan badan perhubungan, tetapi ia juga keputusan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat di Kelantan yang sudah sekian lama melihat dan memerhatikan kedudukan politik Umno, Pas dan lain-lain parti di negeri ini," katanya dalam sidang media di Pejabat Umno Negeri di sini, hari ini.

Beliau juga menegaskan selagi mana Pas di peringkat negeri dan pusat memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka selama itulah tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Kelantan akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

Ahmad Jazlan berkata, demi kestabilan politik dan menghormati keputusan demokrasi yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya yang lalu, maka biarlah kerajaan negeri mengurus tadbir rakyat Kelantan tanpa ada apa-apa tekanan.

"Walaupun tidak lagi bekerjasama dengan Pas, namun Umno akan tetap memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Kelantan.

"Sekiranya ada apa-apa yang berkaitan termasuk berkepentingan dengan asas agama, rakyat dan bangsa, kita boleh duduk bersama.

"Ia juga termasuk sekiranya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), jika ada usul dan pindaan-pindaan yang hendak dibawa, saya jamin kesemua Adun Umno akan memberi sokongan," katanya.

Pada perkembangan yang lain, Ahmad Jazlan berkata, Umno juga membuat keputusan untuk bertanding di semua 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU-15.

Beliau berharap pada PRU-15 nanti rakyat akan memberi kepercayaan, peluang dan mandat kepada Umno untuk mengemudi Kelantan bagi mereka membuktikan apa yang mereka boleh lakukan.

Ketika mengulas kemungkinan ada jajaran politik baharu selepas ini, beliau memberi jaminan setakat ini itulah keputusan yang dibuat dan Umno Kelantan akan bergerak secara solo.

AHMAD Jazlan pada sidang media mengenai  Umno Kelantan membuat keputusan tidak lagi bersama dengan Pas berkuat kuasa serta-merta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Jazlan pada sidang media mengenai Umno Kelantan membuat keputusan tidak lagi bersama dengan Pas berkuat kuasa serta-merta. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 8:13 PM