TUAN Ibrahim Tuan Man (tengah) mendengar taklimat berkaitan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu pada Majlis Pelancaran di Kampung Mangkuk. FOTO Zaid Salim
TUAN Ibrahim Tuan Man (tengah) mendengar taklimat berkaitan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu pada Majlis Pelancaran di Kampung Mangkuk. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Setiu: Kerajaan memperuntukkan RM343 juta untuk pemuliharaan muara sungai dan hakisan pantai di Kemaman, Dungun, Marang dan daerah ini yang dijangka selesai Januari 2025.

Menteri Alam Sekitar Dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, terdapat kira-kira 14 muara sungai di negeri ini yang sedang pesat membangun dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti sektor pertanian, akuakultur, pelabuhan, perkapalan dan pelancongan termasuk Sungai Setiu.

Beliau berkata, kerja pembinaan projek pemuliharaan muara di Sungai Setiu yang bermula Januari lalu dijangka siap Januari 2025 dengan tempoh pembinaan selama 36 bulan.

"Sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu membabitkan kerja pembinaan struktur pemecah ombak, struktur 'training wall', lapis lindung, penyuburan pantai dan pengorekan alur navigasi sejauh 14 kilometer bermula dari Kampung Gong Batu hingga ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kampung Penarik yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM119 juta.

"Projek pemuliharaan ini diharap dapat menyelesaikan isu mendapan di muara yang menyebabkan pergerakan keluar air ke laut tidak lancar dan boleh mengakibat kanberlaku banjir di daerah ini," katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Sungai di Kampung Mangkuk, di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui agensi pelaksana, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia komited dalam menangani isu mendapan muara di sungai berkenaan.

"Kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini di Setiu disebabkan air sungai yang tidak dapat mengalir secara terus ke laut kerana muara sungai yang cetek selain mendatangkan masalah lain seperti bot nelayan yang tidak dapat keluar masuk sekali gus ia menjejaskan industri perikanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:12 PM