Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Sebanyak 4,111 aduan berkaitan pencemaran diterima dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lebih 80 peratus aduan diterima membabitkan pencemaran udara atau pembakaran terbuka.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dikesan melakukan kesalahan.

"(Isu pencemaran ini), ada kes kita penjara, ada kes kita denda (pun) biasa, (ada yang kita) tutup operasi kilang dua, tiga bulan.

"Kita ambil tindakan di bawah akta sedia ada seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Marang di Dewan Sivik Merchang di sini hari ini.

TUAN Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Dewan Sivik Merchang. FOTO Ghazali Kori
TUAN Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Dewan Sivik Merchang. FOTO Ghazali Kori

Tuan Ibrahim berkata, secara keseluruhan, kebanyakan pencemaran yang dilaporkan berada di kawasan kilang-kilang yang terletak di sepanjang sungai.

Katanya, ia membabitkan kawasan industri dan kawasan-kawasan kilang haram yang kebanyakan terletak di tepi sungai dan sebagainya.

"Kawasan zon industri agak terkawal walaupun kita di pihak kementerian bercadang untuk membuat satu sistem penapisan berpusat sebelum dilepaskan ke sungai, kita rawat di situ dulu.

"Yang kedua yang agak kritikal iaitu kawasan-kawasan kilang haram di tepi sungai dan sebagainya.

"Jadi kita minta pihak berkuasa tempatan(PBT) dan agensi kita untuk pantau perkara ini, Alhamdullillah kerjasama yang sangat baik untuk kitamengawal benda-benda (pencemaran) ini," katanya.

From: Zatul

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 8:05 PM