Zatul Iffah Zolkiply

Marang: PAS belum membuat keputusan berhubung penggunaan logo yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu pernah menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka walaupun calon terbabit terdiri daripada parti PAS.

Beliau berkata, perbincangan mengenai penggunaan logo bagi menghadapi PRU-15 akan sentiasa dilakukan.

"(Penggunaan logo) belum muktamad… itu pandangan, cadangan daripada beberapa pihak tetapi parti belum membuat keputusan.

"Jadi parti akan bincang perkara tersebut dan kita tahu kita guna logo PN dalam dua pilihan raya besar, satu di Melaka dan satu di Johor.

"Saya fikir apa yang disebutkan itu ialah berdasarkan yang telah kita setujui sebelum ini iaitu pilihan raya Melaka dan Johor yang kita gunakan satu logo (PN)," katanya.

TUAN Ibrahim ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Dewan Sivik Merchang. FOTO Ghazali Kori
TUAN Ibrahim ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Dewan Sivik Merchang. FOTO Ghazali Kori

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Marang di Dewan Sivik Merchang di sini hari ini.

Ketika ditanya bila perbincangan mengenai logo akan diadakan, Tuan Ibrahim berkata, perbincangan akan diadakan apabila tiba masanya.

"Bila sampai masanya (kita akan bincang) dan tak lambat lagi, insya-Allah," katanya.

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BERSATU dan PAS sudah membuat keputusan untuk menggunakan logo PN pada PRU-15.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, perkara itu turut dipersetujui Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 9:14 PM