FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuching: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM57.5 juta bagi program Jualan Agro Madani 2024 yang bakal diadakan di 5,000 lokasi di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Pengerusinya Aminuddin Zulkipli berkata, inisiatif itu dijangka akan memberi manfaat membabitkan 7.2 juta isi rumah dengan nilai penjimatan dianggarkan RM77.25 juta.

"Tahun lepas kita sasar jualan sekitar RM50 juta, namun kita capai hampir RM100 juta, jadi untuk tahun ini kita mungkin boleh capai angka yang sama kerana cuaca tahun ini pun kelihatan memihak kepada kita, jadi kita mohon semua pihak berkaitan untuk bekerjasama kekalkan momentum dan capai sasaran.

"Kalau nak capai mesti nak lebih berbanding (tahun) sebelumnya, barulah ada faktor motivasi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jualan Agro Madani di Medan Niaga Satok, di sini, hari ini.

Inisiatif Jualan Agro Madani diadakan melalui tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan iaitu Fama, Lembaga Pertubuhan Peladang serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebagai strategi membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya kumpulan B40 menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi.

Antara aktiviti jualan yang dilaksanakan termasuk pelbagai barangan keperluan agromakanan seperti produk segar sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging dan telur secara terus dari ladang pada harga 10 peratus ke 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan.

Pada tahun lalu, program berkenaan mencatatkan nilai jualan melebihi sasaran iaitu RM90.8 juta selepas diadakan di 5,271 lokasi seluruh negara, membabitkan 73,508 usahawan.

Program itu juga berjaya mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM27.2 juta kepada 10.5 juta isi rumah pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 3:35 PM