Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media di Dewan Threattrette Wisma Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media di Dewan Threattrette Wisma Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri menawarkan harga daging pejal segar pada kadar RM36 sekilogram (kg) berbanding harga pasaran antara RM41 dan RM42 kg sempena program Mantai Rayo 2024 pada 7 April ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata program itu akan dijalankan secara serentak di semua lapan kawasan Parlimen dan 16 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri ini.

"Setiap pemantai yang mengambil bahagian di dalam program ini perlu menjual daging pejal segar pada kadar harga RM36 kg. Jualan di bawah harga maksimum adalah amat dialu-alukan.

"Kerajaan negeri memberi bayaran insentif dalam bentuk wang tunai sebanyak RM3 bagi setiap sekilogram daging pejal yang dijual oleh pemantai.

"Bagaimanapun insentif tunai ini terhad kepada 1,000 kg daging pejal di setiap DUN sahaja. Jualan melebihi 1,000 kg adalah kekal pada harga RM36 kg tanpa sebarang bayaran subsidi.

"Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM50,000 bagi insentif ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Pra Pelancaran Mantai Rayo 2024 di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir Exco KananDatuk Seri Jalaluddin Alias dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Aminuddin berkata, sekurang-kurangnya sebanyak 16,000 kg daging segar atau 160 lembu pedaging milik penternak lembu pedaging Negeri Sembilan akan disembelih untuk membekalkan daging segar berkenaan.

Beliau berkata, setiap pembeli dibenarkan membeli maksimum dua kilogram daging bagi memberi ruang kepada lebih ramai mendapat manfaatnya.

"Dianggarkan sekurang-kurangnya 8,000 orang akan menerima manfaat daripada program ini,"katanya.

Menteri Besar berkata,beliau akan merasmikan program utama berkenaan yang akan diadakan di Masjid Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat pada Ahad ini, manakala di lokasi lain oleh ADUN kawasan masing-masing.

Menurut beliau, program akan dijalankan bersekali dengan Jualan Ladang Nismilan Prihatin di bawah seliaan Jabatan Pertanian Negeri Sembilandan Jualan Agro Madani di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Jualan Rahmah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwan Pengguna (KPDN) Negeri Sembilan.

"Jualan daging pejal secara dalam talian akan menggunakan platform Agrobazaar Online di bawah FAMA," katanya.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, harga yang ditawarkan lebih rendah daripada harga pasaran kerana objektif utama untuk membantu meringankan beban, khususnya golongan B40.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 6:44 PM