BERNAMA

Seremban: Jualan Khas Syawal Madani merekodkan nilai jualan sebanyak RM14 juta di 113 lokasi seluruh negara, melepasi sasaran ditetapkan RM13 juta dalam tempoh enam hari sejak ia dilancarkan 15 April lalu.

Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Abdul Rashid Bahri berkata, nilai itu juga meningkat kira-kira 20 peratus berbanding tahun lalu dengan penglibatan 2,680 usahawan tempatan.

"Kita dah capai sasaran RM13 juta dua hari lepas dan hari ini, hari terakhir program ini, kita tiada masalah dari segi bekalan sama ada daging, ayam dan sayur-sayuran memang mencukupi untuk keperluan orang ramai menjelang Aidilfitri.

"Kita juga mendapat kerjasama baik dengan kerajaan negeri di seluruh negara, jadi orang ramai boleh mendapatkan barangan basah dengan harga yang lebih murah, contohnya harga ayam hari ini ditawarkan RM13 seekor," katanya kepada pemberita ketika hadir program berkenaan dan Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin 2023, di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, di Negeri Sembilan, melalui program berkenaan seramai 500 usahawan mendapat manfaat melalui penyediaan ruang pasaran di lapan lokasi seluruh daerah dengan nilai jualan sebanyak RM417,000 berjaya diperoleh setakat hari ini.

Jualan Syawal Madani dilancarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu sempena Aidilfitri bertujuan membantu rakyat mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga yang lebih rendah sehingga 30 peratus berbanding harga di pasar biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 12:40 PM
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Mohamed Taufek Abd Ghani (tiga, kiri) melakukan lelongan bakul sayur-sayuran dengan harga serendah RM5 sempena Program Jualan Khas Mantai Syawal Madani dan Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin. FOTO Bernama
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Mohamed Taufek Abd Ghani (tiga, kiri) melakukan lelongan bakul sayur-sayuran dengan harga serendah RM5 sempena Program Jualan Khas Mantai Syawal Madani dan Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin. FOTO Bernama