Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu berjaya mencatat jualan mencecah RM1 juta menerusi Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia sejak dilancarkan pada 4 Jun lalu.

Pengarahnya, Nukman Hashim berkata, sebanyak 45 program berkenaan yang memberi tumpuan kepada penurunan harga jualan beberapa barangan antaranya ayam, telur, ikan dan buah-buahan sudah dianjurkan di seluruh negeri sejak diperkenalkan.

"Penganjuran program berkenaan di bawah Program Jihad Memerangi Inflasi (PJMI) berikutan kos sara hidup kini yang semakin meningkat.

"Dengan adanya program seumpama ini, pengguna boleh memperoleh membeli barangan dengan potongan harga sehingga 20 peratus," katanya ketika ditemui selepas meninjau PJTDLKM di perkarangan Majlis Kubang Ikan, di sini, hari ini.

Menurutnya, seramai 714 usahawan bimbingan Fama menyertai program berkenaan berbanding terdapat hampir 1,000 usahawan yang bernaung di bawah Fama negeri.

Katanya, program dengan kerjasama pelbagai pihak itu dijangka diteruskan hingga ke hujung tahun.

"Sebagai contoh, ayam dijual pada harga RM8.50 satu kilogram (kg) berbanding harga siling RM9.40 satu kg, begitu juga dengan barangan-barangan lain dalam program berkenaan.

"Kita tidak mengenakan caj tapak, selain pihak penganjur sudah memberi diskaun ke atas barangan terpilih menyebabkan harga barangan yang ditawarkan dapat dikurangkan," katanya.

Katanya, pihaknya menerima maklum balas yang baik mengenai program itu apabila ramai yang meminta untuk mengadakannya kali kedua di tempat mereka.

Mengulas mengenai Pasar Tani Pelancongan (PTP), Nukman berkata, pihaknya memilih dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai tapak perniagaan bermula 17 September depan.

Menurutnya, ia akan dianjurkan setiap minggu dengan menonjolkan makanan dan kraf tangan tradisional Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 2:46 PM
Nukman Hashim, (baju putih) meninjau Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (PJTDLKM) di perkarangan Masjid Kubang Ikan, Chendering. FOTO NAZDY HARUN
Nukman Hashim, (baju putih) meninjau Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (PJTDLKM) di perkarangan Masjid Kubang Ikan, Chendering. FOTO NAZDY HARUN