WAK Uda ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
WAK Uda ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Dua anak kecil salah seorang daripada dua mangsa tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, masih menunggu dan mencari kelibat ayah mereka.

Isteri mangsa, Wak Uda Bahkim, 41, berkata dua anaknya yang berusia dua dan lima tahun itu kelihatan masih menunggu kepulangan ayah mereka selepas lebih seminggu suaminya belum ditemui selepas terbabit dalam kejadian itu.

"Mereka tunggu, bila kami balik, dia naik kereta ini dan tengok-tengok sekeliling.

"Mungkin dia ada perasaan sama juga...kita tidak tahu kan budak-budak," katanya ditemui di lokasi ketika Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani hadir membuat tinjauan di lokasi kejadian itu, hari ini.

Menurutnya, walaupun sudah lebih seminggu operasi pencarian dilakukan, dia masih menunggu dan mengharapkan khabar gembira.

Katanya, meskipun hanya dibenarkan menunggu dari jarak jauh, mereka sekeluarga tetap datang setiap hari ke lokasi bagi mengetahui khabar operasi pencarian.

"Tak apalah, asalkan kita puas hati tengok kerja penyelenggaraan di sini macam mana.

"Akak sanggup tunggu kat sana, setiap hari masih datang sini sebab nak tahu dan nak tengok penyelenggaraan (cari suami) kat sini," katanya.

Semalam, media melaporkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa runtuhan kuari itu menggunakan alat pengesan logam bagi mengesan kedudukan bangkai jengkaut.

Timbalan Komander Operasi 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Umrani Che Mat dilaporkan berkata, alat pengesan logam kendalian pihak swasta itu akan digunakan bagi mengenal pasti lokasi jentera berat itu yang dipercayai tertimbus bersama mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 8:56 PM