Mohd Roji Kawi


Kuching: Permohonan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi fasa satu dan dua akan diproses serentak bagi memastikan mahasiswa menerima peranti dengan segera.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu diambil berikutan peningkatan mendadak jumlah permohonan yang diterima dalam fasa dua.

Beliau berkata, sehingga semalam sebanyak 350,000 permohonan daripada mahasiswa golongan B40 diterima bagi mendapatkan peranti percuma itu.

"Peningkatan itu berlaku apabila permohonan fasa dua dibuka manakala dalam fasa pertama sebelum ini kita menerima kira-kira 100,000 permohonan.

"Justeru permohonan yang diterima dalam fasa satu dan dua itu akan diproses serentak bagi memastikan mahasiswa mendapat peranti dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Peranti Siswa di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, bagi mempercepatkan proses penyerahan, pihaknya tidak menunggu tarikh tutup untuk memproses setiap permohonan.

"Mana-mana pelajar atau mahasiswa yang cukup syarat, kita luluskan kerana kita akan mengaturkan program untuk menyerahkan peranti itu secara serentak seluruh negara," katanya.

Bagaimanapun katanya, kementeriannya menghadapi sedikit kekangan apabila pembekal mempunyai tenaga kerja terhad untuk membuat pendaftaran kerana setiap peranti itu perlu didaftarkan mengikut penerimanya dan kaedah pengumpulan data secara berpusat perlu diikuti.

"Sehubungan itu, kita menggunakan data asas daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memastikan tiada pemohon masukkan data palsu bagi mengambil peluang mendapatkan peranti percuma itu," katanya.

Menurutnya, Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia itu membabitkan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), lebih 260 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), 27 IPG, Politeknik serta pelajar Tingkatkan Enam.

"Berikutan IPG dan Politeknik sudah memulakan pembelajaran, kita dahulukan penyerahan peranti kepada pelajar dua institusi itu dan bagi IPTA dan IPTS yang bermula Oktober, kita berharap 80 peratus mahasiswa yang memohon itu akan menerima peranti mereka penghujung bulan depan," katanya.

Sementara itu, mengenai program Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2, Annuar berkata, teknologi satelit akan digunakan bagi memperluaskan jaringan perhubungan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, sebanyak 1,400 kampung di seluruh negara yang perlu menerima kemudahan itu dengan segera.

"Sebab itu kita menggunakan teknologi satelit yang kosnya memang agak tinggi kerana jika kita menunggu pemasangan jaringan fiber optik atau penggunaan menara, ia akan mengambil masa sehingga 10 tahun.

"Saya tak fikir rakyat harus menunggu begitu lama, jadi kita membuat ketetapan di bawah Program JENDELA Fasa 2, bahawa 1,400 kampung itu termasuk 600 di Sarawak perlu disegerakan jaringan perhubungan dengan menggunakan teknologi satelit dan kerajaan sudah bersedia untuk menanggung perbelanjaan pemasangannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 4:30 PM