Mohamad Aiman diculik sekumpulan lelaki sebelum dipercayai dilarikan ke Thailand pada Julai 2017. FOTO NSTP
Mohamad Aiman diculik sekumpulan lelaki sebelum dipercayai dilarikan ke Thailand pada Julai 2017. FOTO NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis tidak pernah menutup siasatan kes kehilangan Mohamad Aiman Zafri, 29, yang diculik sekumpulan lelaki sebelum dipercayai dilarikan ke Thailand pada Julai 2017.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun sebaliknya berkata, siasatan tetap diteruskan dengan mencari bukti dan petunjuk baru.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah membuat beberapa tangkapan sebelum ini, namun tiada petunjuk yang dapat membantu siasatan.

"Sekiranya ahli keluarga mahupun orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes, sila berhubung dengan pihak Polis di hotline PDRM Kelantan di talian 09-7455622 atau boleh salurkan maklumat di balai polis berhampiran.

"Saya juga ingin mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tidak mengambil tindakan secara bersendirian kerana ia akan mengundang bahaya dan merencatkan malah merugikan dari sudut perkembangan siasatan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian 11.15 malam pada 5 Julai 2017, Mohamad Aiman dikatakan bersama isterinya berhenti di kedai runcit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum didatangi sebuah kereta, dinaiki tiga lelaki dan memaksa suami masuk kenderaan mereka.

Susulan kejadian itu, isterinya dihubungi seorang lelaki menggunakan nombor telefon Thailand yang meminta wang tebusan RM50,000 sambil mendakwa mangsa berhutang.

Isteri mangsa, Nur Azra Syazwani Abdullah, 29, semalam dilaporkan berkata, sehingga kini dia masih menanti kepulangan suami walaupun sudah lima tahun kejadian itu berlaku.

Katanya, kehilangan suami sehingga kini jadi tanda tanya apabila pihak berkuasa tidak menemui sebarang petunjuk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 1:17 PM