MANGSA banjir kilat di PPS SMK Sri Gading. FOTO Essa Abu Yamin
MANGSA banjir kilat di PPS SMK Sri Gading. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Jumlah mangsa banjir kilat melanda Sri Gading di sini yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 194 orang setakat jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat berkata, jumlah itu membabitkan 48 keluarga.

"Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 213 mangsa terdiri daripada 56 keluarga yang dilaporkan terjejas pada jam 4 petang semalam.

"Kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading.

"Mangsa adalah penduduk Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Kampung Seri Tanjung dan Pekan Seri Gading," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, banjir berlaku susulan pertembungan hujan lebat bermula jam 1.30 pagi sehingga 4 pagi pada Rabu lalu dan bertembung dengan fenomena air pasang besar yang memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan berkenaan.

"Setakat ini, hanya satu PPS yang beroperasi dan menempatkan mangsa banjir sejak 1.30 pagi Rabu lalu. Cuaca dilaporkan hujan setakat jam 8 pagi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 10:02 AM