Bahrin (tengah) bersama rampasan pelbagai jenama rokok dalam Ops Kontraban. FOTO AHMAD ISMAIL
Bahrin (tengah) bersama rampasan pelbagai jenama rokok dalam Ops Kontraban. FOTO AHMAD ISMAIL
Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Polis merampas 260 karton rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM7,000 hasil serbuan terhadap dua kedai runcit di Buloh Kasap di sini, jam 5.20 petang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Bahrin Mohd Noh berkata, serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

"Kami turut menahan dua warga tempatan membabitkan wanita berusia 64 tahun dan lelaki berumur 51 tahun yang dipercayai pemilik kedai runcit terbabit.

"Turut dirampas wang RM2,722 serta telefon bimbit," katanya pada sidang media di IPD Segamat di sini, hari ini.

Menurut beliau, anggota yang membuat intipan bermula jam 4 petang mendapati, pekedai terbabit hanya menjual rokok itu kepada individu dikenali.

Rokok terbabit pula disimpan di stor di belakang kedai.

"Hasil siasatan awal, pekedai terbabit baru beberapa hari menjual rokok seludup itu.

"Kami sedang mengesan pembekal rokok seludup terbabit. Kedua-dua pekedai terbabit kini direman bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:22 PM