TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah. FOTO Faiz Anuar
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat (PTDKL) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan kerja penurapan lorong jalan di Kuala Langat pada 2020 dan 2021.

Tertuduh, Mohd Asraf Redzuan, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd Asraf menerusi seorang individu lain didakwa meminta bagi dirinya wang berjumlah RM5,000 dan menerima RM2,000 daripada lelaki berusia 44 tahun sebagai upah.

Upah berkenaan adalah bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja menurap semula dua lorong di Kampung Batu 10, Kebun Baru, Kuala Langat dengan harga kerja RM95,362.80.

Justeru, bapa kepada empat anak itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dia yang kini bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Sepang didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pentadbiran, Dewan Syarahan dan Muzakarah sebuah masjid serta sebuah cawangan bank di Seksyen 14 dekat sini pada 11 November 2020 dan 24 Februari 2021.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri pada minggu pertama di Pejabat SPRM terdekat.

Peguam yang mewakili tertuduh, Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri meminta wang jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai empat anak yang masih kecil selain turut memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 1:14 PM