Norzamira Che Noh

Shah Alam: Bekas Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Sepang (PPK Sepang) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan meminta suapan berjumlah RM6,000 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021.

Tertuduh, Mohd Asyraf Mohd Fauzi, 36, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Asyraf didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya wang berjumlah RM2,000 dan RM4,000 daripada seorang lelaki berusia 39 tahun.

Ia sebagai dorongan baginya sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengurus Besar PPK Sepang bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja pembersihan dan pembekalan anak benih tebu telur berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021: Projek Pertanian Organik Tebu Telur daripada PPK Sepang.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

MOHD Asyraf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan meminta suapan berjumlah RM6,000. FOTO Faiz Anuar
MOHD Asyraf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan meminta suapan berjumlah RM6,000. FOTO Faiz Anuar

Sabit kesalahan dia boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mohd Asyraf didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kampung Giching, Sepang pada September 2021.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri pada setiap awal bulan di Pejabat SPRM terdekat.

Peguam Saleh Ahmad memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh memberi kerjasama terhadap siasatan serta menanggung seorang isteri dan empat anak berusia dua minggu hingga 7 tahun.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 12:05 PM