GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Bekas kerani Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Sabak Bernam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi kerja-kerja baik pulih rumah daif bernilai RM29,430, tiga tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Hafizul Akmal Hasbullah, 33 membuat pengakuan itu selepas empat pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Hafizul Akmal didakwa memberi dokumen iaitu invois berjumlah RM14,500 dan RM14,930 yang mengandungi butir matan palsu dengan niat memperdayakan Ketua Jabatan Perbendaharaan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bagi kerja-kerja membaik pulih rumah daif di bandar di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang mana kerja itu tidak dilaksanakan.

Justeru dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia 2009 (SPRM) (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Sungai Besar antara Jun hingga 1 Julai 2021.

Muhammad Hafizul Akmal juga didakwa dengan dua pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya menggunakan invois bagi kerja-kerja yang sama diketahui dokumen berkenaan palsu.

Justeru dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama. Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara serta syarat tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Affendy Mohd Yusop memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan tertuduh tidak lagi bekerja di JPS serta perlu menanggung seorang isteri serta tiga anak yang berusia tiga hingga tujuh tahun.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan RM6,000 dengan seorang seorang penjamin warganegara, menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan dan tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi kes.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:05 PM