SULTAN Sharafuddin Idris Shah. FOTO arkib NSTP
SULTAN Sharafuddin Idris Shah. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada kerabat diraja dan rakyat Britain atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Istana Alam Shah menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, Ratu Elizabeth II akan sentiasa diingati dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang sebagai seorang pemerintah yang mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyatnya.

Menurut kenyataan itu, pemerintahan Ratu Elizabeth II digambarkan dengan penuh tanggungjawab, dedikasi dan komitmen dalam berkhidmat kepada negaranya dan Komanwel.

"Baginda dikagumi dan dihormati di seluruh dunia sebagai tokoh kestabilan dan perpaduan sepanjang hayat yang membawa perubahan besar," kata kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu lagi, Ratu Elizabeth II melawat Malaysia beberapa kali iaitu pada tahun 1972, 1989 dan 1998.

"Pada tahun 1972, baginda menghadiri majlis makan tengah hari bersama Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Istana Alam Shah, Klang manakala pada tahun 1989 sebagai sebahagian daripada majlis Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-11, baginda melawat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dan minum petang di Istana Alam Shah.

"Sultan Sharafuddin juga berbesar hati kerana dijemput ke HMS Britannia untuk makan malam ketika ia berlabuh di Pelabuhan Klang pada 1972 dan 1989 atas jemputan Ratu Elizabeth II.

"Baginda Ratu Elizabeth II juga sentiasa bermurah hati dan terlibat dalam perbincangan untuk terus meningkatkan hubungan dua hala dengan rakyat Selangor dan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 3:53 PM